/>

Monday, 21 November 2011

BAHASA ROJAK ROSAKKAN BAHASA MELAYU KITA

Saya ingin berkongsi pendapat tentang penggunaan bahasa Melayu kita kini. Saya melihat isu penggunaan bahasa rojak kini semakin parah dan menular dalam generasi baru kita. Rasa kesal juga kerana semakin teruk generasi baru kita menggunakan bahasa rojak semasa pertuturan dengan menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Mereka bangga menggunakannya tetapi pada saya mereka tidak yakin semasa pertuturan seharian. Malukah mereka menggunakan bahasa kita dengan betul atau adakah mereka bangga  dengan bertutur dalam bahasa rojak?

       Saya mengambil contoh penggunaan perkataan so , misalnya menggantikan perkataan .. jadi... Contoh ayat " ..saya baru balik dari oversea, so..nak rehat dahulu". Isu penggunaan bahasa rojak pernah dibangkitkan sebelum ini, tetapi perbahasan hanya tinggal perbahasan. Dewan Bahasa dan Pustaka perlu proaktif dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu.

       Saya juga melihat fenomena penggunaan bahasa rojak ini kian menjadi-jadi juga di kalangan selebriti di Malaysia. Apabila menonton rancangan hiburan, ada juga komen-komen yang mereka berikan tidak ubah seperti orang Inggeris yang mahu berbahasa Melayu namun tidak tahu pula menggunakan tatabahasa atau frasa ayat  bahasa Inggeris yang betul. Bagi saya , jika ingin menggunakan bahasa Inggeris dalam bercakap bahasa Melayu, perlulah lengkap sesuatu ayat. Contohnya, nama saya Lili. I'm staying in Pahang. Saya bekerja sebagai kerani. Penggunaan noktah mampu mengurangkan penggunaan bahasa rojak dalam ayat kerana tidak dicampurkan perkataan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam satu ayat yang dituturkan. Pemahaman akan menjadi lebih jelas dan sesuai bagi mereka yang benar-benar hendak belajar bahasa Inggeris.

        Tidak salah untuk berbahasa Inggeris tetapi perlulah dengan cara yang betul tanpa mengenepikan  peranan bahasa Melayu kita. Ingatlah, tiada siapa yang akan memartabatkan bahasa kita jika bukan kita sendiri. Majulah bahasa untuk negara.





Monday, 7 November 2011

GUNA BAHASA MELAYU SECARA MELUAS DALAM SEGALA ASPEK.

     
      Saya ingin mengambil kesempatan untuk berkongsi pendapat di sini melalui pembacaan saya semasa saya membaca akhbar Berita Harian. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu yang kelapan yang diadakan baru-baru ini mengharapkan supaya Bahasa Melayu dimartabatkan dan digunakan sepenuhnya termasuk dalam ekonomi, kewangan serta perundangan. Mengambil salah satu contoh iaitu usaha RTM ( Radio Televisyen Malaysia) yang bercadang melaksanakan proses alih suara bagi rakaman suara Individu yang menggunakan bahasa Inggeris dalam sesi temu bual  berbahasa Melayu. Ini salah satu usaha mengukuhkan penggunaan bahasa Kebangsaan dalam bidang penyiaran.

     Melalui penganjuran Bulan Bahasa Kebangsaan yang dianjurkan setiap tahun, semua warga Malaysia diingatkan memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan selain daripada usaha membolehkan kita menguasai bahasa Malayu dengan tepat.Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri ada juga menyarankan supaya bank-bank di Malaysia supaya menggunakan bahasa Melayu dalam urusan harian bank bagi memudahkan orang ramai mengetahui dengan jelas lagi.

     Mutu penggunaan tatabahasa Melayu dalam pelbagai program seperti dalam acara rasmi atau program-program di televisyen dan radio milik kerajaan serta swasta masih berada dalam tahap yang kurang memuaskan.Pencemaran bahasa Melayu lebih berleluasa seperti dalam dialog filem atau dalam perbualan kita sehari-hari dapat mencerminkan fenomena bahasa rojak kita.Penggunaan bahasa rojak iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris menunjukkan ketidakyakian terhadap bahasa Melayu dan Bahasa kebangsaan dengan betul.

      Sebagai pendidik, kita perlu memainkan peranan proaktif untuk mendidik generasi kita menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan tidak memberi kesan terhadap peperiksaan yang mereka duduki akibat pencemaran bahasa ini.
     


Friday, 4 November 2011

Peranan Guru untuk Memartabatkan Bahasa Malaysia



Sebagai pendidik kita patutlah mendukung peranan dan tanggungjawab kita untuk memartabatkan Bahasa Malaysia, program-program patutlah dilancarkan demi menarik minat pelajar untuk mempelajari bahasa kita.