/>

Monday, 21 November 2011

BAHASA ROJAK ROSAKKAN BAHASA MELAYU KITA

Saya ingin berkongsi pendapat tentang penggunaan bahasa Melayu kita kini. Saya melihat isu penggunaan bahasa rojak kini semakin parah dan menular dalam generasi baru kita. Rasa kesal juga kerana semakin teruk generasi baru kita menggunakan bahasa rojak semasa pertuturan dengan menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Mereka bangga menggunakannya tetapi pada saya mereka tidak yakin semasa pertuturan seharian. Malukah mereka menggunakan bahasa kita dengan betul atau adakah mereka bangga  dengan bertutur dalam bahasa rojak?

       Saya mengambil contoh penggunaan perkataan so , misalnya menggantikan perkataan .. jadi... Contoh ayat " ..saya baru balik dari oversea, so..nak rehat dahulu". Isu penggunaan bahasa rojak pernah dibangkitkan sebelum ini, tetapi perbahasan hanya tinggal perbahasan. Dewan Bahasa dan Pustaka perlu proaktif dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu.

       Saya juga melihat fenomena penggunaan bahasa rojak ini kian menjadi-jadi juga di kalangan selebriti di Malaysia. Apabila menonton rancangan hiburan, ada juga komen-komen yang mereka berikan tidak ubah seperti orang Inggeris yang mahu berbahasa Melayu namun tidak tahu pula menggunakan tatabahasa atau frasa ayat  bahasa Inggeris yang betul. Bagi saya , jika ingin menggunakan bahasa Inggeris dalam bercakap bahasa Melayu, perlulah lengkap sesuatu ayat. Contohnya, nama saya Lili. I'm staying in Pahang. Saya bekerja sebagai kerani. Penggunaan noktah mampu mengurangkan penggunaan bahasa rojak dalam ayat kerana tidak dicampurkan perkataan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam satu ayat yang dituturkan. Pemahaman akan menjadi lebih jelas dan sesuai bagi mereka yang benar-benar hendak belajar bahasa Inggeris.

        Tidak salah untuk berbahasa Inggeris tetapi perlulah dengan cara yang betul tanpa mengenepikan  peranan bahasa Melayu kita. Ingatlah, tiada siapa yang akan memartabatkan bahasa kita jika bukan kita sendiri. Majulah bahasa untuk negara.